arena

Jangan ulangi insiden kad merah

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan bawah 16 (B-16) tahun negara, Datuk S Sivasundram berharap tiada lagi layangan kad merah buat pemain Malaysia pada aksi terakhir Kumpulan A, Kejohanan B-16 AFC berdepan Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Ia susulan anak buah Lim Teong Kim sudah mengumpul dua kad merah yang masing-masing diterima penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada aksi berdepan Tajikistan dan penyerang, Luqman Hakim Shamsudin ketika menentang Thailand, semalam.

Enggan meletakkan kesalahan ke atas pemain, Sivasundram berkata kad merah antara perkara penting perlu dielakkan skuad negara ketika mereka bakal berdepan tugas getir menundukkan pasukan pilihan, Jepun untuk layak ke suku akhir.

"Kita menewaskan Tajikistan 6-2 dan ia satu permulaan yang baik. Tapi semalam (berdepan Thailand) saya percaya salah satu yang memberi masalah kepada pemain Malaysia adalah kad merah.

"Ia mempengaruhi moral pemain dan kita hanya beraksi dengan 10 pemain hingga perlawanan tamat. Saya harap tiada lagi kad merah (berdepan Jepun) dan kita pun ada memberi pesanan kepada pemain, mereka juga faham.

"Kita tidak boleh menyalahkan pemain, mereka mungkin tak sengaja. Tapi itulah bola sepak, apa saja boleh berlaku," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Teong Kim pada sidang media selepas perlawanan semalam mengakui kad merah diterima Luqman pada minit ke-51 menjejaskan persembahan pasukannya sebelum tewas 2-4 kepada Thailand.

Malaysia kini berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul tiga mata dan membawa misi wajib menang ke atas Jepun untuk layak ke suku akhir.

Selain itu, Sivasundram menaruh keyakinan tinggi bahawa tiada yang mustahil untuk anak buah Teong Kim meraih kemenangan berdepan Jepun yang juga pasukan pilihan dalam kejohanan itu.

"Kita sudah bertemu dengan pemain dan semangat mereka sangat tinggi. Sudah pasti kita nak kalahkan Jepun seterusnya layak dan semua pemain mahu lakukannya.

"Saya percaya dan yakin kita boleh mempamerkan persembahan terbaik. Memang semua pemain dan pegawai pasukan sedih selepas tewas kepada Thailand, tapi motivasi mereka sudah kembali kepada tahap terbaik," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 7:12pm
d