arena

Lampard nak 'bedil' Mourinho

Oleh AFP

LONDON: Frank Lampard pastinya menikmati peluang untuk bertemu bekas pengurusnya, Jose Mourinho apabila Manchester United menerima kunjungan Derby County dalam aksi Piala Liga, awal pagi Rabu.

Lampard, yang dalam tahun pertamanya sebagai pengurus, melihat Derby memanjat ke tangga keenam Liga Kejuaraan hasil kemenangan penuh bergaya 3-1 ke atas Brentford, Sabtu lalu.

Skuad kendalian Mourinho pula sekadar menghuni kedudukan ketujuh Liga Perdana selepas terikat 1-1 dengan Wolverhampton Wanderers di Old Trafford.

Mourinho sempat membimbing Lampard sebanyak dua kali di Chelsea dan mempunyai hubungan yang mesra dengan bekas perancang tengahnya itu.

Malah, pengendali dari Portugal itu turut menelefon Lampard bagi mengucapkan tahniah di atas kelahiran cahaya mata, baru-baru ini.

"Saya sudah tidak sabar untuk bertemunya," kata Lampard. "Secara peribadi, dia adalah pengurus yang banyak mempengaruhi karier saya terutamanya sewaktu tempoh pertamanya di Chelsea.

"Saya amat menghormatinya. Ia amat menarik untuk berjumpanya dan bertemu dengan pasukan kendaliannya."

Tambahnya: "Anda akan melihat lebih ramai pemain Jose Mourinho di setiap tempat kerana beliau begitu cemerlang sepanjang kariernya."

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 12:10am
d