arena

Ronaldo, Messi biadab...

Oleh Agensi

LONDON: Bekas pengendali Juventus, Fabio Capello, Diego Forlan dan Davor Suker antara bintang legenda yang mengkritik ketiadaan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo pada majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2018.

Messi dan Ronaldo tidak menghadiri majlis di sini awal pagi tadi dengan bintang Portugal itu turut disenarai pendek tiga calon bagi anugerah utama Pemain Terbaik Dunia di samping Luka Modric dan Mohamed Salah.

Bekas pemain Real Madrid, Ronaldo memenangi dua edisi anugerah itu sebelum ini termasuk Ballon d’Or pada 2016 dan 2017 manakala bintang Barcelona, Messi sudah memiliki lima gelaran sama.

“Ronaldo dan Messi tidak hadir? Ia kerana kurangnya rasa hormat bagi pemain kepada FIFA dan juga dunia bola sepak,” kata Capello.

“Mungkin kerana mereka sudah menang begitu banyak dan tidak gemar kalah. Dalam kehidupan anda perlu bersikap baik apabila anda menang atau kalah.”

Bekas penyerang Uruguay dan Manchester United, Forlan juga lantang mengkritik dengan mengatakan apa yang dilihatnya sebagai tiada rasa hormat di sebalik status kedua-duanya sebagai model ikutan.

“Ia menyedihkan. Messi menghadiri majlis tahun lalu dan dia tidak menang,” kata Forlan. “Menyedihkan jika perkara sama berlaku ketika majlis UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah).

“Ia acara untuk semua pemain dan penting untuk anda berada di sini. Tidak kira siapa yang menang. Pemain perlu menunjukkan sikap dan tindakan yang baik kerana mereka adalah contoh ikutan di seluruh dunia.”

Suker yang kalah dalam perebutan Pemain Terbaik Dunia kepada Zinedine Zidane dan bintang Brazil, Ronaldo pada edisi 1998 turut mengkritik sikap tiada semangat kesukanan dua pemain itu.

“Anda bukan saja perlu menjadi lelaki budiman jika anda menang, tapi juga ketika kalah,” kata bintang Croatia itu.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 1:08pm
d