arena

Manfaat peluang di China

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki remaja negara akhirnya memperoleh peluang beraksi di luar negara sebagai persiapan menghadapi Piala Sultan Johor dari 6 hingga 13 Oktober depan.

Destinasi yang dituju adalah China yang menyaksikan skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin akan menghadapi tiga perlawanan persahabatan bersama pasukan wilayah Dalian.

Ia kali pertama skuad negara yang dibentuk dengan objektif utama melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja 2020, diberi peluang beraksi di luar negara tahun ini selepas program untuk menyertai kejohanan enam negara di Antwerp, Belgium pada Julai lalu dibatalkan.

Meskipun ia kali pertama skuad bimbingannya mendapat peluang beraksi di luar negara, Nor Saiful berasakan persiapan itu mencukupi bagi menghadapi Piala Sultan Johor.

“Bagi saya tiga perlawanan ini penting untuk melihat beberapa kelemahan yang perlu kami perbaiki sebelum beraksi di Johor Bahru.

“Masa sudah semakin singkat dan bagi saya persiapan terakhir ini mencukupi untuk pemain,” katanya yang akan berlepas bersama pasukan esok.

Nor Saiful berkata, tiga perlawanan itu akan menjadi medan terakhir buatnya mencongak 18 pemain yang akan dipilih ke Piala Sultan Johor.

“Saya sudah mempunyai senarai 18 pemain itu. Cuma kami perlu melihat kepada beberapa kemungkinan seperti faktor kecederaan yang mungkin memerlukan pertukaran pemain,” katanya.

Selain skuad negara, lima lagi pasukan yang akan beraksi pada kejohanan bawah 21 tahun itu adalah juara bertahan Australia, Britain, India, Jepun dan New Zealand.

Skuad negara muncul juara edisi sulung pada 2011 selepas menewaskan Australia pada perlawanan akhir.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 1:28pm
d