arena

FAM tunggu lampu Hijau

Oleh Firdaus Hashim

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui mempunyai perancangan dan resipi tersendiri bagi memperkasakan lagi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sekiranya badan induk itu diberikan amanah untuk mengambil alih program berkenaan.

Menurut Hamidin, hasil perbincangan 'enam mata' bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan FAM, beliau yakin satu keputusan positif mampu dicapai dengan masing-masing meletakkan keutamaan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi sebagai objektif utama.

"Kami sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak MSN, KBS dan juga Menteri Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dan menyatakan hasrat serta pandangan dari segi kaca mata bola sepak.

"Kami sedang tunggu jawapan daripada menteri dan KBS, mungkin dalam masa terdekat mereka akan membuat pengumuman itu.

"Tapi di pihak kami, FAM sudah menyampaikan pandangan dan saya buat masa ini enggan mengulas lanjut memandangkan pasukan (Skuad B-16 tahun negara) masih lagi beraksi di kejohanan (Konfederasi Bolasepak Asia) menentang Jepun esok.

"Untuk berlaku adil, biarlah ia habis perlawanan selepas itu saya akan membuat kenyataan bagi pihak FAM," katanya ketika ditemui pada Seminar Pembangunan Bolasepak Belia 'The Modern Trends In Youth Development' anjuran Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), di sini, hari ini.

Sebelum ini, hala tuju NFDP menjadi topik hangat selepas pertukaran kerajaan pada Mei lalu dengan FAM dikatakan bakal mengambil alih program berkenaan.

NFDP yang dilancarkan pada 10 April 2014 adalah hasil cetusan idea bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten serta mengubah ekosistem pembangunan bola sepak yang lebih sistematik dan menyeluruh.

Untuk rekod, NFDP kini mempunyai lebih 25,000 pelatih berusia tujuh hingga 17 tahun yang menjalani latihan di pusat NFDP seluruh negara yang dibantu lebih 1,000 jurulatih termasuklah pelatih elit di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang.

Sementara itu, mengulas mengenai skuad kendalian Lim Teong Kim yang akan menentang Jepun di saingan AFC B-16 di Stadium Nasional Bukit Jalil petang esok, beliau percaya kejutan mampu dilakar sekiranya pemain memberi fokus sepenuhnya untuk aksi terakhir Kumpulan A itu.

Katanya, meskipun skuad Samurai Biru itu dikatakan antara pasukan 'gergasi' benua ini, namun tahap bola sepak di peringkat bawah umur adalah setara dan tidak mustahil kemenangan boleh diraih.

"Pasukan Jepun ini (B-16) bukan pasukan Piala Dunia. Peratusan untuk pasukan di peringkat bawah umur 16, 19 ataupun 23 adalah sama tetapi bila peringkat senior baru nampak ada perbezaan ketara.

"Jadi saya kira pasukan kita esok kalau bermain dengan semangat satu pasukan dan mempunyai jati diri kita boleh kalahkan Jepun," katanya.

Malaysia tiada pilihan lain selain wajib menang ke atas Jepun sekiranya berhasrat untuk melangkah ke peringkat lapan terbaik selepas kegembiraan menewaskan Tajikistan 6-2 pada aksi pertama Khamis lalu diganggu Thailand yang menumbangkan skuad negara 2-4 pada Ahad lalu.

 

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 4:31pm
d