arena

Sharbinee kongsi rahsia lawan kanser

Oleh Fabian Peter

"JANGAN putus asa, terus cekal dan pastikan diri dikelilingi dengan orang-orang positif.”

Itu adalah kata semangat yang diberikan bekas penjaga gol Malaysia, Sharbinee Allawee kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dikesan mengidap kanser hidung peringkat awal.

Pada Februari 2017, Sharbinee - sama seperti Chong Wei - dikejutkan apabila dirinya menderita kanser darah peringkat dua.

Sudah meninggalkan Terengganu selepas tiga musim bagi menjalani rawatan, Sharbinee berkata adalah sangat penting untuk mendapatkan sistem sokongan penuh bagi melawan penyakit dihidapi.

“Sama seperti Chong Wei, saya terkejut tetapi pada masa sama, kami boleh menganggap diri kami bertuah kerana baru di peringkat awal. Masih ada harapan.

“Apa yang penting buat Chong Wei ketika ini adalah kekal positif. Berdasarkan pengalaman, saya percaya ia adalah aspek paling utama, apabila berdepan dengan penyakit seperti kanser ini.

“Ia juga membantu apabila kamu dikelilingi oleh orang-orang yang positif seperti keluarga. Mereka adalah nombor satu dalam pasukan sokongan. Kamu perlu diberikan sokongan sepanjang masa.

“Sekiranya saya boleh berkata sesuatu kepada Chong Wei ketika ini, ia pastinya terus cekal. Buat masa ini, cuba tidak memikirkan mengenai kembali ke gelanggang.

“Proses pemulihan adalah satu-satunya perkara yang perlu dilihat,” kata Sharbinee, 32, yang membuat kemunculan semula tahun ini dengan menyertai pasukan Liga Super, Kuala Lumpur, Mei lalu.

Sharbinee, yang juga pemenang pingat emas di Sukan SEA Laos 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010, menjalani enam kemoterapi sepanjang enam bulan dan berehat untuk enam bulan lagi sebelum memulakan latihan.

“Ia mengambil masa. Saya yakin Chong Wei menerima rawatan terbaik, jadi untuk masa ini biarkan dia berehat. Kita perlu mendoakan kesihatannya dan berharap yang terbaik untuknya.

“Chong Wei seorang yang kuat, saya pasti dia boleh mengharunginya,” tambah Sharbinee.

Sabtu lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Chong Wei, 36, didapati menghidap kanser, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kesakitan dialami jaguh perseorangan itu.

Meja Sukan NSTP mula mengeluarkan laporan berkenaan pada Julai lalu dengan menyatakan Chong Wei, mengalami kesakitan yang mungkin menamatkan kariernya, selepas menarik diri dari Kejuaraan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia, bulan lalu.

Selepas menjalani rawatan di Taiwan sejak beberapa bulan lalu, Chong Wei dijangka kembali ke tanah air minggu ini.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 4:59pm
d