arena

Ambil aura skuad B-23

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad bawah (B-23) tahun negara yang berjaya menamatkan badi gagal menundukkan Korea Selatan selama 44 tahun perlu dijadikan suntikan semangat utama buat pasukan B-16 yang akan berdepan Jepun pada Kejohanan B-16 AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Skuad B-23 negara melakar kejutan itu apabila menundukkan Korea Selatan 2-1 pada peringkat kumpulan di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan lalu.

Kegagalan Jepun meraih kemenangan ke atas Tajikistan juga dilihat memberikan petanda positif buat skuad B-16 menjelang aksi terakhir Kumpulan A itu walaupun rekod kurang baik dicatatkan anak buah Lim Teong Kim sepanjang pertemuan dengan Samurai Biru.

Namun, mereka perlu lebih berwaspada dengan strategi yang cuba dimainkan Jepun termasuk tindakan pengendalinya, Yoshiro Moriyama yang merehatkan tujuh pemain utama mereka ketika berdepan Tajikistan.

Malah, Moriyama turut dikatakan menghantar beberapa 'pengintip' bagi mengkaji corak permainan Malaysia ketika berdepan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

Teong Kim pula dilihat cuba merahsiakan strategi ampuh yang direncanakan untuk menghadapi perlawanan getir itu di mana Malaysia wajib menundukkan Jepun untuk mara ke suku akhir.

"Kami turun (ke gelanggang) untuk menang kerana tiada jalan lain lagi bagi Malaysia. Kami akan bermain seperti biasa, sama ketika berdepan pasukan lain sebelum ini.

"Situasi dalam kumpulan sekarang ini semua pasukan memiliki peluang untuk layak ke suku akhir. Jadi semua akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menang, termasuk kami," katanya ketika temui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Jika melihat kepada rekod pertemuan, kelebihan tampak memihak kepada Jepun dan pertemuan terakhir dalam Kumpulan J pusingan kelayakan kejohanan ini pada September tahun lalu juga menyaksikan Malaysia tewas 0-4.

Namun, rekod itu juga tidak boleh dijadikan alasan utama buat anak didik Teong Kim untuk melakar kejutan besar di hadapan penyokong sendiri.

Jepun yang kini memimpin kumpulan dengan kelebihan satu mata juga boleh tersingkir awal jika tewas di tangan Malaysia dan Thailand pula berjaya menundukkan Tajikistan dalam satu lagi perlawanan.

Selain itu, Teong Kim turut tidak mendedahkan nama pemain yang akan menggantikan Luqman Hakim Shamsudin yang digantung satu perlawanan susulan kad merah yang diterima pada pertemuan dengan Thailand.

"Kami mempunyai kumpulan pemain yang besar dan mampu menggalas tugas dengan baik. Kita akan menggunakan penyerang lain untuk gantikan Luqman.

 "Sama juga ketika kami kehilangan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman sebelum ini. Jadi tidak banyak perbezaan akan dilakukan," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 7:04pm
d