arena

'28 Pengadil SUKMA terbaik...'

Oleh Syafiq Aznan

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertahankan pemilihan pengadil yang mengadili perlawanan ketika Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 meskipun timbul isu membabitkan mutu pengadilan pada temasya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan semua 28 pengadil yang dipilih bukanlah sebarangan memandangkan mereka sudah memiliki pengalaman mengendalikan saingan di peringkat bawahan.

Bagaimanapun, beliau mengakui pengadil tidak terlepas daripada melakukan kesilapan namun menuntut kerjasama daripada pemain bagi memastikan permainan dapat berlangsung dalam situasi yang baik dan harmoni.

“Pengadil yang dipilih bukanlah ‘kosong’ kerana mereka berpengalaman mengadili saingan Piala Belia dan Piala Presiden, jadi mereka diketengahkan untuk mengadili perlawanan SUKMA kerana potensi yang dimiliki.

“Pada saya, mereka tidak melakukan kesalahan yang besar. Pemain juga perlu ada sikap tanggungjawab untuk menjaga imej bola sepak dan tidak sekadar mengharapkan pengadil.

“Saya tahu bola sepak adalah sukan membabitkan emosi, jadi saya mengharapkan kedua-dua pihak saling fleksibel dan saling menghormati bagi memastikan perlawanan berlangsung dengan baik,” katanya pada sidang media di Wisma FAM hari ini.

Mengulas lanjut mutu pengadilan yang dipersoalkan pada aksi SUKMA membabitkan Terengganu dan Johor, Subkhiddin menjelaskan pengadil perlawanan terbabit, Mohd Afiq Ahmad Nadzir berjaya menunjukkan prestasi yang baik.

“Berdasarkan laporan yang diterima, dia menunjukkan mutu pengadilan yang baik. Cuma mungkin dia kurang tegas untuk mengambil tindakan lebih awal terhadap insiden yang berlaku sebelum itu.

“Kita pun tidak suka jika pengadil terlalu tegas dan mudah melayangkan kad merah namun jika kita kurang tegas, ia boleh memakan diri sendiri dalam mengawal permainan,” katanya.

Terdahulu, perlawanan antara Johor dan Terengganu pada SUKMA 2018 dicemari dengan insiden pergaduhan sehingga empat pemain dilayangkan kad merah.

Susulan itu, Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertikaikan kredibiliti pengadil tempatan yang dianggapnya ‘lemah’ berbanding pengadil dari negara lain.

Jelas pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, insiden pergaduhan membabitkan aksi Kumpulan B di padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim pada 10 September lalu itu boleh dielakkan sekiranya pengadil bertindak lebih tegas dalam aksi berkenaan.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 8:50pm
d