arena

Pogba bukan lagi kapten United

Oleh Reuters

MANCHESTER, England: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengesahkan tonggak tengah Perancis, Paul Pogba tidak lagi diberi peranan sebagai ketua pasukan dan turut menepis dakwaan wujudnya perselisihan faham antara beliau dan pemain itu.

“Hakikatnya saya sudah membuat keputusan Pogba bukan lagi ketua pasukan dan tiada masalah antara kami berdua,” katanya selepas menyaksikan skuad kendaliannya ditunjukkan jalan keluar apabila tewas kepada Derby County 7-8 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa sebenar seawal pusingan ketiga Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.

Pada aksi di Old Trafford itu, Mourinho merehatkan sebilangan besar pemain utama termasuk Pogba.

“Individu yang melantik Pogba sebagai ketua pasukan menggantikan Antonio Valencia adalah saya dan sekarang individu sama juga melucutkan peranannya sebagai ketua pasukan.

“Saya pengurus pasukan dan saya boleh buat keputusan ini. Tiada kekesalan dan tindakan itu perlu tanpa mengulas lebih panjang mengenainya,” katanya.

Pogba, 25, dilantik sebagai kapten selepas Valencia tidak beraksi kerana kecederaan yang menyaksikan dia memimpin United dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers Sabtu lalu, Pogba secara terbuka menyatakan rasa tidak senangnya berikutan keputusan seri 1-1 dengan menyalahkan taktikal pasukan apabila lebih menumpukan kepada aspek bertahan daripada menyerang.

Dia berpindah ke Old Trafford pada 2016 dari Juventus menerusi perpindahan tertinggi ketika itu £89 juta (RM475 juta) dengan dia kini mula dikaitkan untuk menyertai kelab Sepanyol, Barcelona di La Liga.

Malah, pada Ogos lalu, Pogba menyatakan dia takut akan didenda jika bercakap mengenai perasaannya di United yang memberi petanda pemenang Piala Dunia Russia 2018 itu jelas mahu meninggalkan United musim ini.

Mengulas mengenai kekalahan di tangan Derby itu, bekas pengurus Real Madrid itu menyalahkan ketumpulan di jentera serangan sebagai punca pasukannya gagal mara lebih jauh pada kempen kali ini.

“Ia berlaku kerana kami tidak menjaringkan gol biarpun banyak peluang terhidang. Selepas mendahului 1-0 pada babak pertama, kami seharusnya menambah gol lagi tapi sebaliknya kami melepaskan dua gol mudah kepada lawan.

“Kami perlu bangkit mengatasi kelemahan ini dan pasukan perlu mengharungi perjalanan liga yang masih jauh serta saingan Liga Juara-Juara dan Piala FA,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 9:55am
d