arena

Pindah sebelum tahun baru

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino yakin kelab itu akan dapat beraksi di stadium baru sebelum tahun baru selepas beberapa kali proses pemindahan ditangguhkan.

Pengurus dari Argentina itu diyakinkan oleh pengerusi Daniel Levy bahawa Spurs bakal memiliki stadium baru berkapasiti 62,000 tempat duduk yang dibina menggantikan stadium lama White Hart Lane sebelum Krismas.

Tottenham terpaksa terus menjadikan Wembley stadium mereka musim ini selepas proses pemindahan ke stadium baru yang dijangka boleh digunakan pada 15 September lalu ditunda beberapa kali atas pelbagai sebab antaranya masalah keselamatan.

"Kami akan pindah tahun ini. Saya yakin," kata Pochettino kepada wartawan menjelang perlawanan menentang Watford dalam aksi Piala Liga di Stadium Milton Keynes Dons, hari ini.

"Saya berbual dengan Daniel. Saya rasa mereka yakin dan bekerja keras mencari jalan penyelesaian. Saya harap sebelum Krismas kami dapat beraksi di stadium baru.”

Tottenham tewas kepada Watford dalam aksi Liga Perdana pada permulaan musim.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 4:26pm
d