arena

Aksi Malaysia-Jepun ditangguh esok [METROTV]

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Dua aksi terakhir peringkat Kumpulan A Kejohanan Bawah 16 Tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 terpaksa ditangguhkan jam 11 pagi esok.

Ia susulan cuaca buruk yang melanda di venue perlawanan membabitkan Thailand dan Tajikistan di Arena Universiti Malaysia (UM) sekali gus memaksa aksi Malaysia menentang Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil turut ditangguhkan kerana aksi terakhir perlu dimulakan serentak.

Perlawanan yang sepatutnya bermula 4.30 petang ditunda ke jam 5 petang pada awalnya sebelum hujan lebat di Arena UM menyebabkan aksi ditangguhkan buat kali kedua pada jam 5.30 petang.

Cuaca buruk yang berterusan menyaksikan aksi tidak dapat dilangsungkan mengikut waktu sepatutnya sebelum keputusan menangguhkan perlawanan ke esok (Khamis) dibuat pada jam 5.50 petang.

Bagaimanapun, tiada perubahan venue dengan aksi Malaysia-Jepun akan tetap berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sementara aksi Thailand-Tajikistan akan berlangsung di Arena UM.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 6:28pm
d