arena

Barcelona, Real 'melingkup'

Oleh Reuters

SEVILLE: Juara La Liga, Barcelona tewas mengejut 1-2 di tangan pasukan sedang bergelut, Leganes manakala Real Madrid menerima nasib sama selepas kecundang 0-3 kepada Sevilla sekali gus merekod kekalahan serentak kedua-dua kelab gergasi itu pada hari sama sejak Januari 2015.

Philippe Coutinho meletakkan Barcelona di depan seawal minit ke-12 namun kelebihan itu berakhir pada separuh masa kedua.

Nabil El Zhar menanduk masuk pada minit ke-52 untuk menjaringkan gol penyamaan manakala Oscar Rodriguez meledak gol kemenangan Leganes seminit kemudian sekali gus memberikan keceriaan kepada kira-kira 12,000 penyokong tuan rumah di Stadium Butarque.

Kekalahan mengejut Barcelona menyaksikan Real berpeluang untuk menjarakkan kedudukan dengan kelebihan tiga mata di tangga teratas liga, tetapi juara Liga Juara-Juara itu turut tewas di tangan Sevilla yang meledak semua gol pada babak pertama sekali gus mencetus kekalahan pertama di bawah bimbingan Julen Lopetegui.

Barcelona kekal di tangga teratas liga dengan perbezaan gol, terikat 13 mata dengan Real.

Penyerang Portugal, Andre Silva meletakkan Sevilla di depan apabila menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit ke-17.

Silva yang dipinjamkan dari AC Milan menambah gol kedua empat minit kemudian selepas penjaga gol Real, Thibaut Courtois melakukan kesilapan.

Sevilla yang membenam Levante 6-2 pada perlawanan sebelum ini, dilihat begitu agresif pada babak pertama.

Penyerang Wissam Ben Yedder terus memberi tekanan kepada Real apabila menjaringkan gol ketiga Sevilla pada minit ke-39 sekali gus mengesahkan kemenangan kelabnya yang mempunyai rekod cemerlang kerana berjaya memperoleh empat kemenangan berturut-turut apabila bertemu Real di tempat sendiri.

“Kami hadir ke sini dengan sasaran untuk memberikan tekanan kepada Sevilla tapi kami tidak berjaya melakukannya. Sevilla nyata pasukan lebih baik pada perlawanan ini,” kata Lopetegui.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 8:13am
d