arena

Dortmund 'berparti'

Oleh Reuters

BERLIN: Kapten Borussia Dortmund, Marco Reus meledak dua gol untuk membantu membelasah Nuremberg 7-0 awal pagi tadi sekali gus melonjak ke tangga kedua Bundesliga, dua mata di belakang pendahulu Bayern Munich.

Tuan rumah terlalu pantas buat Nuremberg yang masih belum mencatat sebarang kemenangan di Dortmund sejak 1990 dan memperoleh kemenangan kedua terbesar dalam Bundesliga.

Jacob Bruun Larsen memperdaya penjaga gol Nuremberg untuk membuka tirai jaringan hasil bantuan pemain sensasi Amerika Syarikat berusia 20 tahun, Christian Pulisic dan Reus menyumbat gol kedua hasil sepakan padu pada minit ke-32 dalam perlawanan yang dilihat berat sebelah.

Reus yang juga pemain sayap Jerman menjaringkan gol kedua peribadinya pada babak kedua selepas pemain remaja Achraf Hakimi turut mencetak nama sebagai penjaring.

Tuan rumah menjaringkan tiga gol pada baki 16 minit terakhir menerusi Manuel Akanji, Jadon Sancho dan Julian Weigl membolehkan mereka meraih 11 mata, merapatkan kedudukan dengan Bayern yang seri 1-1 menentang Augsburg, semalam.

“Kami bermula dengan baik dan mendapat gol pertama tapi kami mahu terus menyerang,” kata jurulatih Dortmund, Lucien Favre. “Sesuatu yang menyeronokkan dapat bekerjasama dengan pasukan ini.

“Kami mempunyai pasukan yang amat muda dan pemain perlu terus bekerja keras,” kata pengendali dari Switzerland itu yang mengendalikan Dortmund bagi musim sulungnya.

Sementara itu pemain kebangsaan Jerman, Kevin Volland menjaringkan dua gol buat Bayer Leverkusen yang menang 2-1 ke atas Fortuna Dusseldorf.

Leverkusen kini memenangi dua perlawanan terakhir mereka selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini dan kini menghuni tangga ke-11 liga.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 8:17am
d