arena

Juventus kekal cemerlang

Oleh AFP

MILAN: Paulo Dybala dan Blaise Matuidi meledak gol awal ketika Juventus melebarkan rekod kemenangan kali keenam berturut-turut dalam misi mempertahankan kejuaraan Serie A apabila menewaskan Bologna 2-0 manakala AS Roma menamatkan rekod kekalahan dengan menewaskan pendatang baru Frosinone 4-0, awal pagi tadi.

Juventus kini mengumpul maksimum 18 mata, tiga mata di depan Napoli yang menewaskan Parma 3-0 dengan kedua-dua pasukan teratas itu akan bertembung di Turin, Sabtu ini.

“Kami melakukan beberapa kesilapan pada hujung perlawanan dan memberi ruang kepada lawan melakukan cubaan,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

“Kami akan bertemu Napoli, Sabtu ini dan ia pasti perlawanan yang dinanti-nantikan. Saya masih belum memikirkan kesebelasan utama ketika ini dan hanya akan membuat keputusan pada sesi latihan Jumaat ini.”

Pasukan tangga ketiga Lazio menewaskan Udinese 2-1 sebelum bertemu Roma minggu ini.

Roma mengurangkan sedikit tekanan yang dihadapi jurulatih, Eusebio Di Francesco apabila meraih tiga mata pertama.

“Ini permulaan baru buat kami. Musim baru sudah bermula,” kata Di Francesco.

Di Turin, Dybala yang berpeluang beraksi bersama bintang dunia, Cristiano Ronaldo meledak gol pertamanya musim ini pada minit ke-12 di Stadium Allianz.

Matuidi yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis, menambah gol kedua selepas menerima hantaran Ronaldo pada minit ke-16.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 9:47am
d