arena

Koepka pemain terbaik

MIAMI, Amerika Syarikat: Brooks Koepka yang cemerlang sepanjang tahun ini termasuk memenangi dua kejuaraan utama dinobat selaku Pemain Terbaik PGA Amerika Syarikat manakala Dustin Johnson memenangi Trofi Vardon kerana melakukan catatan paling rendah.

Koepka yang mengalami kecederaan pergelangan tangan serius awal musim ini, memenangi Terbuka AS buat kali kedua pada Jun lalu sebelum mengungguli Kejuaraan PGA dua bulan kemudian.

Justin Thomas yang memenangi anugerah itu tahun lalu, menduduki tempat kedua di belakang Koepka.

Pemain ranking pertama dunia, Johnson di tangga ketiga diikuti pemain sensasi England, Justin Rose yang memenangi Piala FedEx Jelajah PGA AS.

Dengan dua kejuaraan utama, Koepka menjadi pilihan utama memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA AS merebut Trofi Jack Nicklaus yang akan diumumkan hujung tahun ini. Enam calon turut tersenarai bagi anugerah itu.

Mereka adalah Rose, Johnson, Thomas, Bryson DeChambeau dan juara Terbuka British, Francesco Molinari – semuanya beraksi pada saingan Piala Ryder di Perancis minggu ini.

Bagaimanapun Koepka dijangka memenanginya kerana pemenang kedua-dua anugerah pemain terbaik tahunan itu kebiasaannya dimenangi individu sama sejak 1992. - AFP

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 11:12am
d