arena

Solo Hazard hantui Klopp

Oleh Reuters

LONDON: Pasukan tanpa kalah Chelsea dan Liverpool menentang sesama sendiri di Stamford Bridge awal pagi Ahad ini dalam pertembungan terbesar Liga Perdana Inggeris setakat ini, musim ini.

Liverpool kendalian Juergen Klopp menang semua enam aksi liga manakala deretan kemenangan Chelsea tamat susulan seri tanpa jaringan di West Ham, Ahad lalu.

Namun Chelsea mempunyai kelebihan psikologi selepas mengatasi Liverpool pada aksi Piala Liga Inggeris awal pagi tadi sekalipun perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan melakukan lapan pertukaran pemain.

Klopp sedar pemain sayap Chelsea, Eden Hazard, yang menjaringkan gol solo menakjubkan bagi memastikan kemenangan selepas masuk sebagai pemain gantian babak kedua, mampu menjadi ancaman utama kepada permulaan sempurna mereka.

Liverpool menang sekali dalam lima pertembungan Liga Perdana dengan Chelsea, termasuk tewas 0-1 pada aksi terakhir mereka di Stamford Bridge, Mei lalu.

Menanti penuh minat awal pagi Ahad ini adalah juara bertahan Manchester City yang turut tidak kalah dengan lima menang dan satu seri.

Anak buah Pep Guardiola dijangka menokok tiga mata lagi apabila mereka menerima kunjungan Brighton di Etihad.

Dale Stephens (hamstring) dan Pascal Gross (buku lali) tidak boleh diturunkan oleh pengurus Chris Hughton.

Ia satu lagi minggu ujian buat Manchester United selepas seri 1-1 di laman sendiri dengan pasukan pendatang baru Wolverhampton Wanderers apabila mereka disingkir daripada Piala Liga di tangan pasukan divisyen dua, Derby County.

Lebih memburukkan keadaan ketegangan berterusan antara pengurus Jose Mourinho dan pemain tengah Perancis, Paul Pogba.

United kini berdepan aksi sukar ke ibu negara untuk berdepan West Ham di Stadium London - keputusan seri Hammers dengan Chelsea susulan kemenangan di Everton pasti mencetus keyakinan mereka boleh menjadi pasukan terbaru menambah derita Mourinho.

Tottenham bertandang ke utara berdepan kelab tercorot Huddersfield Town manakala Arsenal menentang pasukan tangga keempat Watford yang menang empat aksi pertama mereka.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 1:33pm
d