arena

NFDP perlu diselamatkan - Syed Saddiq

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: ‘Bukan mudah tapi kita perlu lakukan.’ Itulah janji Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam usaha untuk menyelamatkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan sekali gus mengurangkan beban ditanggung Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini.

Menurutnya, NFDP adalah program yang baik membabitkan puluhan ribu pemain namun untuk meneruskannya ia memerlukan perubahan dari segi sumber kewangan yang sedia ada.

"Ini masalah yang harus kita beri perhatian. Sebaik memegang jawatan selaku menteri saya berjumpa beberapa pihak, merayu agar membantu program NFDP," katanya di majlis sumbangan syarikat korporat kontinjen Para Asia di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan hari ini.

Jelasnya, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan peminat tegar bola sepak negara dalam tempoh terdekat untuk sesi dialog agar mempunyai jalan penyelesaian menyelamatkan program NFDP.

"Pengikut bola sepak ini sangat penting, itulah sebab utama mengapa bola sepak masih lagi bertahan, kerana dengan adanya mereka. Sesi dialog ini akan dihadiri wakil dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara (MSN), NFDP dan pihak KBS iaitu saya sendiri.

"Saya mahu tanya pandangan mereka (peminat tegar) dan dalam masa sama memberi penerangan bagaimana situasi sekarang untuk kita terus maju ke depan," katanya.

Ditanya mengenai adakah pengendali dari luar akan menggantikan tempat Lim Teong Kim, Syed Saddiq enggan mengulas sebaliknya menegaskan semua perlu dilihat dari segi kedudukan kewangan sedia ada.

"Itulah sebabnya saya hendak jumpa penyokong tegar kerana mereka ada pandangan dan cadangan. Dalam masa sama apabila syarikat luar melihat banyak penyokong masih lagi berminat dengan sukan ini ia mampu menarik mereka untuk turut serta. Jadi datanglah ke sesi dialog ini agar membuka mata syarikat luar serta rakan sejawat saya di kabinet.

"Paling penting perkara ini membabitkan semua pihak, jadi sebelum bertolak ke Jakarta pada 6 Oktober depan untuk menyaksikan Sukan Para Asia, saya berharap mampu berjumpa dengan penyokong tegar dalam satu sesi dialog, jika jadual terlalu padat ia akan diadakan selepas itu," katanya.

Semalam Syed Saddiq menegaskan, kerajaan terdahulu menjanjikan RM20 juta setiap tahun kepada NFDP.

Bagaimanapun NFDP hanya menerima RM10 juta (2014), RM7 juta (2015), RM3.5 juta (2016) dan RM3.5 juta (2017).

 

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 5:11pm
d