arena

FAM cari pengganti Teong Kim 

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan mesyuarat, Rabu ini bagi membincangkan mengenai hala tuju skuad bawah 16 (B-16) tahun negara.  

Pengerusinya, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan mesyuarat berkenaan juga akan membincangkan mengenai jurulatih baharu skuad berkenaan susulan pemecatan Lim Teong Kim, semalam.

“Masih terlalu awal untuk saya maklumkan (mengenai jurulatih baharu yang akan dilantik) kerana saya bukan buat keputusan seorang diri.

“Kita akan putuskan dan sebab itu kita ada mesyuarat Rabu ini. Selepas itu akan diusulkan kepada presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) dan Exco,” katanya pada sidang media ketika merasmikan penutup Seminar Pembangunan Bolasepak Belia di Kelana Jaya, hari ini.

Selain jurulatih baharu, Subahan turut menjelaskan mesyuarat berkenaan juga akan membincangkan lebih terperinci mengenai hasrat FAM untuk menguruskan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Subahan yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, badan induk berkenaan mampu menjadikan NFDP ke arah yang lebih baik berdasarkan beberapa kepakaran termasuk aspek kejurulatihan yang dimiliki.

“Kalau boleh memang kita nak ambil alih program berkenaan, kerana inilah tempat yang sepatutnya kita melahirkan pemain berkaliber wakili negara.

“Maksudnya kita nak bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan. Apapun kita serahkan kepada presiden dan menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) untuk berbincang kerana mereka adalah individu paling tepat bagi membuat keputusan,” katanya.

Ditanya adakah Teong Kim akan kekal sebagai Pengarah NFDP sekiranya program berkenaan diambil alih oleh FAM, Subahan hanya berkata: “Saya tidak boleh komen, itu terpulang kepada budi bicara menteri.”

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 5:20pm
d