arena

PSM tunggu keputusan KBS

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) masih menanti arahan lanjut berhubung pelaksanaan fasa kedua Kuala Lumpur Sports City (KLSC) di Bukit Jalil.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Azman Fahmi Osman menjelaskan, fasa kedua projek berkenaan sepatutnya bermula selepas berakhirnya Sukan SEA 2017.

"Mengikut kontrak, fasa kedua akan siap penghujung 2020 namun kini kita menanti arahan terbaru KBS...kos semakin lama, makin meningkat. Ia aspek yang perlu diteliti bagi memastikan ia membawa kebaikan kepada PSM dan rakyat.

"Kelewatan berlaku kerana pilihan raya dan berlaku pertukaran kerajaan. Sekarang adalah masa untuk semua pihak duduk bersama bagi membincangkan  hala tuju fasa kedua KLSC,"  jelasnya.

Malaysian Resources Corporation Bhd (Bhd) mengendalikan projek dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion dengan fasa satu bermula Januari 2016 hingga Jun 2017.

Manakala fasa kedua sepatutnya bermula dari Januari tahun ini sehingga Disember 2020.

Tambahnya, fasa kedua KLSC seharusnya membantu dalam aspek kewangan PSM yang mengalami kerugian RM11 juta.

"Fasa kedua akan mempunyai pusat beli-belah, hotel, pusat pameran, muzium sukan, ruang pejabat dan sebagainya. Ia bersifat komersil," jelasnya.

Pada masa sama beliau menyambut baik pelantikan Tan Sri Tony Fernandes sebagai Pengerusi PSM serta tidak sabar bekerjasama dengan tokoh korporat itu.

"Kami berharap beliau akan membantu PSM dalam aspek pengurusan fasiliti dan pengkomersilan. Beliau mempunyai pengalaman menguruskan stadium Queens Park Rangers, jadi idea di sana mungkin boleh dilaksanakan di sini," katanya.

Beliau optimis perancangan PSM untuk berdikari sepenuhnya menjelang 2020 mampu dicapai selepas setiap tahun mereka menerima geran yang berkurangan dari KBS.

"Kami menerima RM8 juta pada 2017 berbanding RM11.8 juta pada tahun sebelumnya. Jadi kami berharap kehadiran Tony akan memberikan idea baru bagi mencapai kedudukan kewangan yang stabil tanpa bantuan kerajaan," tambahnya. 

 

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 9:03pm
d