arena

'Van Dijk tolong sembuh segera...'

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp resah menanti status kecergasan pertahanannya, Virgil van Dijk bagi pertembungan getir Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea, esok.

Pemain pertahanan termahal dunia itu menjadi antara tonggak memperbaiki kerapuhan bahagian benteng Klopp sejak tiba dari Southampton Januari lalu dengan nilai £75 juta pound (RM403.70 juta).

Begitupun, pemain kebangsaan Belanda itu masih belum cergas sepenuhnya berikutan kecederaan rusuk yang memaksanya dikeluarkan pada perlawanan menentang bekas kelabnya yang berakhir 3-0, minggu lalu.

“Status Virgil kita masih perlu menunggu. Dia masih belum berlatih bersama pasukan ketika ini dan itu saja saya boleh katakan mengenainya,” kata Klopp, hari ini.

“Virgil adalah pemain berkelas dunia, tiada keraguan mengenainya dan jika kamu kehilangan pemain berkelas dunia, ia tidak bagus.”

Liverpool berhasrat meneruskan rekod kemenangan sempurna dalam kempen Liga Perdana kepada tujuh kemenangan berturut-turut dan membalas dendam kepada Chelsea yang menewaskan mereka 2-1 pada aksi Piala Liga, Rabu lalu.

Klopp begitupun pasti enggan untuk mengambil risiko menyenaraikan Van Dijk pada aksi Liga Juara-Juara di Napoli, minggu depan sebelum menanti kunjungan penyandang juara Inggeris, Manchester City beberapa hari kemudian.

“Sebelum kami bermula jelas perlawanan menentang Chelsea di Stamford Bridge bukan hadiah hari lahir atau perkara seperti itu, ia pasti tegang,” kata Klopp.

“Kemudian kami akan ke Naples yang menjadi tempat yang sukar untuk dikunjungi dan kemudian menanti kunjungan Man City. Sejujur-jujurnya, ia adalah bulan yang sukar. Tetapi setakat ini segala-galanya baik dan pemain bersedia untuk mengharunginya.”

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 11:23pm
d