arena

Mourinho, Pogba terus dingin

Oleh AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho memberi peringatan kepada Paul Pogba dengan menegaskan tiada pemain yang lebih besar daripada kelab.

Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu memuji kesungguhan ditunjukkan pemain tengah Perancis itu pada sepanjang minggu biarpun spekulasi terus bertiup kencang mengenai hubungan dingin kedua-dua individu berkenaan.

Mourinho melucutkan 'pangkat' Pogba kepada penolong kapten United, Selasa lalu pada aksi Piala Liga dan hubungan tegang kedua-duanya dapat dilihat dengan jelas ketika sesi latihan keesokan harinya.

Riak wajah keduanya yang berjaya dirakam menerusi kamera selepas The Red Devils tersingkir daripada saingan Piala Liga di tangan Derby menerusi penentuan penalti juga menguatkan spekulasi berkenaan.

Bagaimanapun, Mourinho menegaskan Pogba akan kembali berada dalam kesebelasan utama pasukan itu selepas diketepikan pada aksi pertengahan minggu pada pertemuan menentang West Ham United.

"Dia seperti pemain lain. Tiada pemain yang lebih besar daripada kelab dan jika saya gembira dengan kerjanya, dia akan bermain, jika saya tidak gembira, dia tidak akan bermain.

"Saya gembira dengan kerjanya minggu ini, sangat gembira. Dia menjalani latihan cukup baik pada Selasa, Rabu dan Khamis.

"Pasukan memerlukan pemain yang baik, pemain yang memiliki personaliti positif, dia memiliki ciri-ciri itu dan dia akan bermain esok," kata Mourinho.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 12:44am
d