arena

Hodak 'enggan terjerat'

Oleh Firdaus Hashim

 

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Bojan Hodak mahu bersikap lebih realistik dalam menentukan hala tuju skuad kendaliannya pada Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia bermula 18 Oktober ini.

Mahu menjadikan insiden kegagalan skuad B-16 negara layak ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan sebagai pengajaran, beliau enggan terjerat dengan masalah sama dihadapi 'pasukan adik' itu meskipun kempen di Indonesia turut menawarkan empat tiket Piala Dunia B-20 di Poland pertengahan tahun depan.

Jelas Hodak, beliau lebih tertarik untuk mengambil satu demi satu perlawanan sebelum melihat peluang pasukannya melangkah lebih jauh dalam kejohanan itu nanti.  

"Skuad B-16 membuat persiapan agak lama empat hingga ke lima tahun dan mereka juga disediakan dengan bajet begitu besar. Namun ia tidak buat pasukan saya, jadi untuk meletakkan sasaran layak ke Piala Dunia bagi saya cukup tinggi dan sukar sama sekali. 

"Malah, pada majlis undian kumpulan, kita hanya diletakkan dalam balang empat kerana ranking kita jauh di belakang pasukan-pasukan lain.

"Maka, saya beranggapan kita perlu realistik dan bermula sebagai pasukan 'underdog' dengan cuba mencipta kejutan pada setiap perlawanan.

"Tipu kalau saya katakan barisan pemain dan jurulatih tidak mahu pergi ke Piala Dunia B-20, tetapi saya meminta kepada mereka supaya ambil satu demi satu perlawanan dan berikan aksi yang terbaik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Skuad bimbingan Hodak yang sudah memulakan kem latihan fasa akhir di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Khamis lalu, diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara dua kali Arab Saudi (1986, 1992), China (1985) dan Tajikistan.

Hodak berjaya membawa pasukan muncul juara Piala AFF Julai lalu, bakal berdepan Arab Saudi pada aksi pertama 20 Oktober ini, diikuti menentang Tajikistan 23 Oktober sebelum menamatkan aksi kumpulan bertemu China tiga hari kemudian.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 4:04pm
d