arena

'Saya nak rehat, tumpu SPM...'

Oleh Aida Adilah Mat

 

KUALA LUMPUR: Selepas menjadi watak utama kejayaan skuad skuasy Kedah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang lalu, Aifa Azman mahu melupakan seketika arena skuasy.

Menempuh musim disifatkan padat, Aifa berkata SUKMA Perak adalah kejohanan terakhirnya musim ini kerana mahu memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Aifa berkata, dia mahu berehat seketika dan akan kembali selepas SPM selesai.

Bagaimanapun dia akan meneruskan latihan namun tidak akan begitu serius bagi memastikan rentak permainannya konsisten.

“Latihan mungkin akan diteruskan seperti biasa tapi agak terhad kerana saya akan menyertai Terbuka British Januari nanti.

“Apapun saya gembira dengan prestasi saya tahun ini dan akan cuba mempertingkatkan mutu permainan pada tahun depan,” katanya.

Sebelum SUKMA berlangsung, Aifa turut disenaraikan bagi memperkuatkan barisan negara pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2018 di Dalian, China.

Bagaimanapun Malaysia yang  diletakkan pilihan keempat, terkandas di suku akhir apabila tewas kepada Perancis.

Aifa, 17, kembali ke Perak untuk menyertai SUKMA selepas itu dan berjaya menyumbang dua emas iaitu dalam acara perseorangan wanita dan berpasukan untuk kontinjen Kedah.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 7:20pm
d