arena

Risau hilang tonggak 

Oleh AFP

HUDDERSFIELD: Mauricio Pochettino bimbang pemain antarabangsanya berdepan masalah prestasi dan kerap cedera susulan tuntutan tinggi ke atas mereka.

Pengendali Tottenham Hotspur itu, yang menyaksikan kapten England Harry Kane meledak dua gol ketika menewaskan Huddersfield 2-0 di tempat lawan malam tadi, berdepan kemungkinan kehilangan tiga pemain utama untuk aksi Liga Juara-Juara peringkat kumpulan menentang Barcelona di Wembley.

Dele Alli sah tersisih manakala peluang Jan Vertonghen dan Moussa Dembele tipis untuk aksi menentang gergasi Catalan pada awal pagi Khamis nanti.

Alli mengalami kecederaan hamstring ketika kekalahan England kepada Sepanyol di Liga Negara-Negara UEFA 8 September lalu dan pemain antarabangsa Belgium, Vertonghen dan Dembele dikeluarkan ketika tamat separuh masa pertama ketika menewaskan Huddersfield susulan kecederaan otot.

Tiga pemain itu terbabit dengan Piala Dunia sehingga pertengahan Julai, dengan Belgium menewaskan England dalam aksi tempat ketiga, dan Pochettino percaya mereka tidak mendapat rehat yang cukup sebelum Liga Perdana bermula pada 11 Ogos.

Pengurus dari Argentina itu menyuarakan kebimbangan dengan tindakan badan bola sepak Eropah, UEFA menambah aksi kompetitif dalam kalendar apabila memperkenalkan Liga Negara-Negara UEFA, menyebabkan tempoh rehat pemain berkurangan.

“Pemain baru saja menamatkan Piala Dunia dan mereka perlu berehat untuk beberapa minggu,” kata Pochettino. “Mereka beraksi di Liga Perdana disusuli perlawanan antarabangsa.

“Mereka beraksi dua perlawanan yang bukan bersifat aksi persahabatan, sebaliknya di Liga Negara-Negara UEFA dengan semua pasukan mahu pemain terbaik beraksi.

“Siapa yang peduli tentang pemain? Ia sukar. Cabaran yang besar kepada semua pihak pada musim ini. Bukan saja kami, terdapat pasukan lain yang mengalami masalah yang sama.

“Pemain bukan mesin. Bukan sesuatu yang mudah apabila anda mahu terus mendesak mereka. Tiada siapa yang membantu.”

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 8:17am
d