arena

Oltmans akui dihubungi MHC

Oleh Naqib Nor Said

 

BEKAS pengendali Pakistan, Roelant Oltmans mengesahkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) ada menghubunginya, tetapi beliau masih belum membuat sebarang keputusan sambil menafikan khabar angin mengaitkannya berada di ibu negara.

Jelasnya, ini kerana bukan saja Malaysia dikatakan berminat untuk mendapatkannya, malah beberapa negara lain sudah menyatakan perkara sama sebaik berita peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih Pakistan pada 22 September lalu tersebar luas.

“Saya menerima banyak panggilan sejak minggu lalu, Malaysia (MHC) sudah tentu antaranya. Tetapi mereka bukan satu-satunya negara yang mengemukakan tawaran, beberapa negara lain turut menghubungi saya,” kata Oltmans yang pernah membimbing India dan Belanda.

“Apa yang pasti buat masa ini saya masih mempertimbangkan semua tawaran itu dan belum membuat keputusan akhir,” katanya.

Hari ini, Sukan NSTP melaporkan selepas satu ketikanya hampir dilantik membimbing skuad negara pada 2012, nama pengendali dari Belanda itu sekali lagi berada dalam radar MHC untuk menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan.

Khabar angin mula timbul selepas seorang sumber mendedahkan beliau ternampak kelibat Oltmans, 64, di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun, Oltmans segera menafikan dakwaan terbabit dengan menyifatkan individu yang dimaksudkan itu mungkin hanya mempunyai wajah seiras dengannya.

“Bagaimanakah anda semua boleh terfikir saya berada di Malaysia, sedangkan saya berada di Belanda ketika bercakap dengan kamu.

“Mustahil (saya ada bertemu Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal semalam), apapun perkara ini amat menarik dan kita tunggu dan lihat saja apa yang akan terjadi,” katanya.

Untuk rekod, Oltmans adalah nama besar dalam sukan hoki dengan pelbagai koleksi kejuaraan dihimpun dalam senarai panjang kariernya sebagai jurulatih sejak 1989. 

Malah, beliau pernah bergiat aktif dalam sukan bola sepak selepas dilantik menjadi Pengarah Teknikal NAC Breda - sebuah kelab bola sepak utama di Belanda dalam saingan Eredivisie - selama tiga tahun bermula 1999.

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 9:28pm
d