arena

Bukan salah Mourinho - Neville

Oleh Reuters

BEKAS kapten Manchester United, Gary Neville mempertahankan Jose Mourinho dengan menuduh pengurusan lebih tinggi tidak mempunyai pelan jangka panjang bagi mengembalikan kegemilangan Red Devils.

Kekalahan kepada West Ham, semalam bermakna United hanya menang tiga daripada tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris sekali gus menyamai permulaan terburuk kelab itu sejak 1989-90 dan kini menghuni tangga ke-10 liga.

United ketinggalan sembilan mata di belakang seteru tetangga yang juga penyandang juara, Manchester City yang mendaki puncak liga selepas Chelsea dan Liverpool terikat 1-1 di Stamford Bridge, semalam.

Selepas menjuarai Liga Europa dan Piala Liga pada musim pertamanya sebelum menamatkan saingan liga di kedudukan kedua musim lalu, Mourinho memperbaiki United yang longlai di bawah kendalian David Moyes dan Louis van Gaal selepas persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

Peminat mungkin tidak terlalu menggemari corak permainan yang ditampilkan pengurus dari Portugal itu dengan ketegangan dengan pemainnya tampak semakin memuncak terutama dengan pemain termahal, Paul Pogba.

Begitupun, Neville percaya lembaga pengarah kelab berkenaan diserang panik apabila memecat Moyes kurang setahun selepas mengendalikan kelab itu dan kini mereka perlu menyokong sepenuhnya Mourinho.

“Segala kekusutan ini bermula apabila United memecat David Moyes selepas hanya lapan bulan dan kami kehilangan semua nilai yang kelab ini bina selama 100 tahun,” kata Neville dalam laman Twitter miliknya yang mempunyai empat juta pengikut.

“Ia menjadi permainan ‘pinball,’ kaedah yang reaktif dan kemudian mengejarnya. Tiada pelan! 

“Ia bukannya disebabkan oleh pengurus, ia disebabkan oleh kepimpinan di atasnya. Mereka melantun ke segenap tempat dan tiada pelan!” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 11:07pm
d