arena

Milan kembali temui rentak

Oleh AFP

MILAN: Pemain tengah Sepanyol, Suso meledak dua gol untuk menamatkan kemarau jaringan di Serie A, ketika membantu AC Milan melakar kemenangan 4-1 ke atas Sassuolo, awal pagi tadi.

Kejayaan di laman lawan itu meletakkan Milan kembali ke landasan kemenangan selepas hanya seri dalam tiga perlawanan berturut-turut dan pada masa sama, menghalang lawan melonjak ke kedudukan kedua liga.

Manakala juara bertahan, Juventus terus mengekalkan permulaan yang sempurna dengan kemenangan 3-1 mengatasi Napoli yang kekal pada kedudukan kedua.

Juventus meraih mata maksimum selepas tujuh perlawanan dengan mengumpul 21 mata bagi memburu gelaran Scudetto buat kali kelapan berturut-turut.

Dalam aksi pagi tadi, Milan memerlukan kemenangan untuk mengelak daripada terus ketinggalan dan seteru utama, Inter Milan pula pada kedudukan keempat selepas menewaskan Cagliari 2-0.

"Keputusan ini membantu kami meraih keyakinan," jelas jurulatih Milan, Gennaro Gattuso.

"Apabila anda menyarung jersi Milan dan bersama kelab tersohor seperti ini yang mahu berada pada kedudukan teratas, ia akan mewujudkan tekanan.

"Orang ramai tidak terlalu minat mengenai persembahan, namun lebih kepada keputusan perlawanan dan kedudukan.

“Saya percaya pasukan ini mempunyai kemampuan dan hanya memerlukan masa untuk berkembang."

Franck Kessie membuka tirai jaringan untuk Milan pada minit ke-39, sebelum Suso menambah jaringan kedua pada minit ke-50.

Castillejo Azuaga menambah derita tuan rumah menerusi gol ketiga, 10 minit selepas itu sebelum Filip Djuricic merapatkan jurang untuk Sassuolo apabila meledak jaringan pada minit ke-68.

Sosu sekali lagi mencatat nama selaku penjaring apabila meledak jaringan keempat, pada masa kecederaan di babak kedua.

Walaupun melakar kemenangan besar, Milan kekal pada kedudukan ke-10, ketinggalan empat mata kepada Inter Milan yang berada dalam posisi untuk tiket ke Liga Juara-Juara.

 

 

 

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 8:31am
d