arena

Sane teruja 'pulang kampung'

Oleh AFP

LONDON: Manchester City akan berkunjung ke Hoffenheim dengan harapan mampu mencari kemenangan sulung Liga Juara-Juara, selepas kalah mengejut kepada Lyon walaupun diletakkan sebagai pasukan pilihan musim ini.

Disebabkan itu, motivasi anak buah Pep Guardiola dilihat sedikit merudum, kecuali jika ada seorang pemain City bercita-cita mahu memberikan impak besar ketika beraksi di negara kelahirannya.

Leroy Sane adalah seorang daripada pemain City yang membantu merekodkan 100 mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan meraih Piala Liga, pada musim lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu juga dianugerahkan Pemain Muda Terbaik di England selepas mencetak 14 gol dan melakukan 19 hantaran bantuan gol dalam semua kejohanan.

Bagaimanapun, ia belum mencukupi buat Sane untuk mendapat tempat dalam skuad Piala Dunia Jerman, selepas disingkirkan oleh pengendali, Joachim Loew.

Sane mungkin berasa puas selepas penyandang juara itu tersingkir di peringkat kumpulan dan ia adalah kali pertama sejak 80 tahun Jerman terkandas di halangan pertama.

Kelajuan, larian pantas ke depan dan sentiasa dapat menghidu ruang serta peluang melakukan jaringan yang dimiliki oleh bekas pemain sayap Schalke itu dilihat menjadi kekurangan dalam skuad Jerman di Russia.

Bagaimanapun, Sane tidak boleh berasa selesa apabila pulang ke pangkuan kelab, kerana dia masih lagi menjadi perhatian Guardiola terutama mengenai sikapnya ketika di luar padang.

"Kadangkala anda akan terasa dengan pergerakan badan Leroy, tidak kira sama ada menang atau kalah. Dia harus memperbaiki cara ‘bahasa’ badannya.

"Dia sangat hebat ketika beraksi dengan City tahun lalu, tetapi Pep berdepan masalah sama sekarang ini, dia cuba untuk mempersiapkan Sane sebaik mungkin, agak dia boleh beraksi dengan cemerlang," kata Toni Kroos.

 

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 1:07pm
d