arena

Nilai semula gaji Teong Kim

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai pilihan untuk menilai semula jumlah gaji diterima Lim Teong Kim atau memecat Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan KBS mempunyai hak memilih salah satu daripada pilihan itu susulan kegagalan skuad bawah 16 negara mencapai sasaran layak ke Piala Dunia bawah 17 (B-17) di Peru, tahun depan.

Effendi yang sudah lebih 15 tahun terbabit dalam bidang ejen pemain bagaimanapun berkata, apa saja keputusan yang diambil, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu mengikut kontrak ditandatangani antara Teong Kim dan KBS sebelum ini.

“Kalau betul-betul nak buang (pecat Teong Kim) kena bayar pampasan mengikut persetujuan kedua-dua pihak sama ada tiga bulan, lima bulan atau lebih.

“Tapi sekarang ini Menteri (Syed Saddiq) mahu menilai semula gaji Teong Kim. Jadi kena teliti betul-betul klausa yang ada dalam kontrak dan saya fikir beliau perlu mendapatkan peguam atau pakar bagi mengelak kesilapan dalam membuat keputusan.

“Jika benar ada klausa yang menyatakan Teong Kim kena capai KPI (petunjuk prestasi utama) layak ke Piala Dunia B-17 dan sekarang ini gagal, KBS ada hak untuk menilai semula beberapa perkara termasuk gaji yang terkandung dalam kontraknya,” katanya kepada Sukan NSTP.

Isu gaji RM175,000 sebulan tanpa cukai yang dibayar kepada Teong Kim hangat diperkatakan dengan ada pihak menganggap jumlah itu tidak setimpal dengan tugasnya menguruskan skuad B-16 negara.

Syed Saddiq dalam kenyataan kelmarin menjelaskan akan menilai semula gaji bekas jurulatih skuad muda Bayern Munich itu berdasarkan kemampuan kewangan Majlis Sukan Negara (MSN).

Sukan NSTP semalam melaporkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil mempertahankan jumlah gaji dibayar kepada Teong Kim dengan menyifatkan ia berpatutan dengan pengalaman dimiliki pengendali itu.

Namun, Effendi pula berpendapat jumlah gaji itu boleh dianggap tinggi jika mengikut nilai pasaran di Malaysia.

“Walaupun jumlah gaji yang diterima boleh dipertikai, tapi Teong Kim tidak boleh dipersalahkan kerana kontrak yang ditandatangani adalah sah,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 4:18pm
d