arena

15 emas jadi sasaran

Oleh Aida Adilah Mat

 

KUALA LUMPUR: Sejumlah 15 pingat emas menjadi sasaran Kontinjen Para Negara yang akan beraksi di Temasya Sukan Para Asia Indonesia yang akan berlangsung di Jakarta bermula dari 6 hingga 13 Oktober ini.

Biarpun jumlah itu sama seperti empat tahun lalu ketika temasya berlangsung di Incheon, Korea Selatan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin atlet negara mampu mencapai kejayaan lebih gemilang berdasarkan semangat ditunjukkan mereka.

Katanya, tiga atlet olahraga para negara yang menyumbangkan emas di temasya Paralimpik Rio iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Muhammad Ridzuan Puzi menjadi sandaran utama skuad negara merealisasikan sasaran ditetapkan.

Beliau yang akan turut hadir bersama kontinjen untuk memberi sokongan di Jakarta nanti turut yakin acara lain seperti boling, badminton serta beberapa sukan lain turut mampu menghadiahkan emas.

“Ketahuilah wahai atlet para negara, anda tidak berjuang keseorangan. Anda semua adalah wira dan wirawati negara, bawalah semangat anda ke depan kerana anda membawa harapan 32 juta rakyat negara ini untuk berjaya di temasya Para Asian nanti.

“Anda pejuang negara, anda luar biasa dan setiap kemenangan adalah kemenangan buat negara kita Malaysia.

“Insya-Allah melihat akan semangat yang ditunjukkan, saya yakin mereka mampu melakukan jauh lebih baik. Tapi buat setakat ini sasaran kita adalah 15 emas,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq turut menjelaskan bahawa jumlah insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan (SHAKAM) yang akan diberikan kepada atlet para negara adalah sama seperti diraih atlet normal negara yang berjaya di Sukan Asia baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang sama, Syed Saddiq berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan berhubung isu keselamatan atlet negara di Jakarta nanti biarpun bencana tsunami berlaku di Palu, Sulawesi Indonesia berikutan lokasinya jauh daripada tempat penganjuran temasya itu.

Perasmian pembukaan Sukan Para Asia Indonesia akan berlangsung pada 6 Oktober ini di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 7:14pm
d