arena

'Saya buat demi skuad negara'

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Stephen Van Huizen mengakui pada mulanya agak sukar buatnya menerima keputusan akan menjadi penolong jurulatih kepada Roelant Oltmans yang diumum selaku ketua jurulatih baru skuad hoki lelaki kebangsaan.

Bagaimanapun tegas Stephen yang turut menggalas tugas selaku pengurus pasukan, demi kebaikan skuad negara dan misi untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, beliau memberi komitmen untuk membentuk kerjasama baik bersama Oltmans. 

"Ia sukar. Saya tak katakan segalanya baik. Tetapi segala keputusan ini adalah untuk kebaikan skuad hoki negara. Saya perlu ketepikan segala perasaan peribadi. Jadi saya rasa anda perlu melihat kepada perkara yang positif. 

"Saya juga rasa lega sekarang kerana sudah ada ketua jurulatih yang menggantikan tempat saya, yang bertanggungjawab ke atas pasukan dengan saya memberi sokongan kepadanya daripada belakang. 

"Sokongan saya terhadapnya sangat penting. Sekarang kami perlu bekerjasama dengan baik untuk mendapatkan keputusan yang bagus," katanya.

Jelas Stephen yang menggalas tugas ketua jurulatih bermula penghujung 2015, ini bukanlah kali pertama beliau berdepan situasi seperti itu. 

"Jika anda masih ingat saya pernah alami situasi ini pada Sukan Olimpik Sydney 2000. Saya membimbing pasukan di Sydney dan kami beraksi dengan baik. Setiap orang mengatakan perkara sama. 

"Tetapi kemudian Paul Lissek dilantik sebagai ketua jurulatih kerana beliau lebih profesional. Saya menerima keputusan sama ketika itu," katanya. 

Untuk rekod kali terakhir Malaysia beraksi di Sukan Olimpik adalah di Sydney. 

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 7:49pm
d