arena

Syarikat swasta dipelawa bantu NFDP

Oleh Aida Adilah Mat

 

KUALA LUMPUR: “Jika mereka boleh melabur beratus juta ringgit untuk membeli kelab luar dan pemain luar negara, mengapa tidak mereka menyumbang bakti dalam program pembangunan bola sepak tanah air,” kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq membuat gesaan itu ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia Jakarta di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Katanya, ketika ini beliau sudah mengenal pasti beberapa penaja berpotensi untuk menjalin kerjasama menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Syed Saddiq seperti membayangkan beliau sudah bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan yang juga pemilik kelab bola sepak Cardiff City untuk membincangkan hala tuju NFDP seterusnya.

“Buat ketika ini saya tidak boleh maklumkan nama pihak terbabit. Tapi saya sudah mengenal pasti beberapa penaja yang berpotensi untuk menjalinkan kerjasama membawa program bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi.

“Saya amat berharap sokongan daripada pihak terbabit yang sebelum ini memang menunjukkan minat agar dapat membantu bola sepak tempatan mengorak langkah ke arah lebih baik.

“Saya tahu mereka ini menjiwai bola sepak tanah air tapi mereka mahu dana yang disalurkan itu melalui proses yang betul supaya setiap sen disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Katanya, daripada perbincangan ringkas itu pihak berkenaan memberi maklum balas positif namun belum ada sebarang perjanjian dicapai.

Justeru beliau berkata, perkara utama yang akan ditekankan selepas ini adalah ketelusan dalam setiap perbelanjaan akan menjadi isu nombor satu supaya setiap sen digunakan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Sementara itu, Syed Saddiq  memohon agar peminat bola sepak tempatan tidak berterusan mencemuh Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim, susulan kegagalan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.

Tegasnya, Teong Kim pernah mengharumkan nama Malaysia sebelum ini dan turut dikenali di luar negara.

NFDP adalah program pembangunan bola sepak yang ditubuhkan pada 2014

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 8:48pm
d