arena

'Pemain utama United beraksi teruk...'

Oleh AFP

LONDON: Barisan pemain bintang Manchester United perlu bertanggungjawab atas persembahan ‘amat buruk’ ketika menentang West Ham yang menyaksikan kelab itu terjerumus ke tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris, kata pertahanan Luke Shaw.

Kekalahan 1-3 di Stadium London, Sabtu lalu adalah yang ketiga daripada tujuh perlawanan liga dengan Red Devils kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester City,

Ketika spekulasi membabitkan masa depan pengurus, Jose Mourinho terus meningkat, Shaw membuat permohonan maaf kepada penyokong tegar kelab itu susulan prestasi buruk yang ditampilkan dan berkata pemain perlu menilai kembali diri mereka.

“Jika kamu mahukan kebenaran, saya fikir ia benar-benar buruk,” kata Shaw. “Kami tidak nampak seperti pasukan yang akan menewaskan West Ham.

“Saya fikir secara individu dan juga sebagai satu pasukan kami amat teruk. Ia tidak cukup baik. Sukar untuk menerimanya dan kami meminta maaf terhadap apa yang mereka lihat. Permainan Man United tidak cukup baik berbanding bakat yang kami miliki.”

Kemerosotan United, yang bermula pada sejak penyingkiran di pentas Piala Liga kepada Derby minggu lalu bermakna mereka menyamai permulaan terburuk kelab itu sejak 29 tahun lalu.

Bagi menambah masalah di atas padang, Mourinho pada minggu lalu mengesahkan bintang tengah, Paul Pogba tidak akan diberikan lilitan kapten selepas ini susulan kritikan daripada pemain Perancis itu.

Sekali pun bebanan kian menggunung di bahu Mourinho, Shaw percaya pemain perlu dipersalahkan.

“Kami perlu melihat diri kami sebagai pemain. Kami yang berada di atas padang. Pengurus tiada di sana. Dia di sini adalah untuk membimbing pasukan, menyenaraikan pasukan yang dia fikir boleh menang perlawanan.

“Jika kamu lihat kepada pasukan kami, kami memiliki pasukan yang kuat. Tiada alasan. Sebagai pemain, kami tidak cukup bagus.” - AFP

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 12:46am
d