arena

'Ronaldo boleh berehat'

Oleh AFP

MILAN: Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri berkata penggantungan satu perlawanan Liga Juara-Juara ke atas Cristiano Ronaldo adalah rehat penting bagi bintang Portugal itu untuk mengembalikan tenaganya, selepas bermain dalam semua perlawanan sejak berpindah ke Turin. 

Ronaldo tidak akan bermain dalam perlawanan Eropah menentang kelab Switzerland, Young Boys di Turin awal pagi esok selepas kontroversi layangan kad merah yang berlaku di Valencia. Juventus menang 2-0 dalam perlawanan itu.

“Ronaldo bermain dalam setiap perlawanan setakat ini dan Sabtu lalu adalah yang terbaik buatnya sejak tiba di Juve,” kata Allegri mengenai kemenangan 3-1 liga terhadap Napoli yang menyaksikan Ronaldo membantu tiga gol buat kelab juara itu.

“Sedikit rehat adalah bagus untuknya. Saya juga mahu melihat pasukan tanpa Ronaldo biarpun saya sudah lihat itu di Valencia.

“Adalah bagus dia dapat bersama kami di Manchester, tetapi ia adalah penting baginya berehat dan juga bersedia bagi banyak lagi perlawanan untuk kami.”

Juve bermain menentang pasukan United bimbingan Jose Mourinho di Old Trafford pada 23 Oktober, sebelum menerima kunjungan kelab Inggeris itu di Turin pada 7 November dalam Kumpulan H. 

Ronaldo, juara lima kali Liga Juara-Juara memenangi kejohanan pertamanya bersama United pada 2008 sebelum meninggalkan kelab itu ke Real Madrid setahun kemudian.

 

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 9:07am
d