arena

Ronaldo nafi kes rogol

Oleh AFP

LOS ANGELES: Polis mengesahkan sudah membuka semula kertas siasatan pertuduhan rogol oleh bekas model yang mendakwa bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo menyerangnya di hotel mewah di Las Vegasa pada tahun 2009.

Ronaldo yang kini bermain bagi pasukan Itali Serie A, Juventus, menolak dakwaan itu dengan mengatakan ia sebagai “berita palsu” ketika temubual secara langsung di laman sosial Instagram.

“Apa yang mereka katakan hari ini, palsu – berita palsu,” kata bintang berumur 33 tahun dari Portugal itu sebelum muat naik temubual itu dipadam tidak lama selepas itu.

Kathryn Mayorga, 34, menuduh Ronaldo, dalam 32 muka surat kertas pertuduhan yang difailkan bulan lalu di mahkamah daerah Nevada, merogolnya pada 13 Jun 2009.

Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan tanpa menyebut nama bintang bola sepak itu terbabit dengan mengatakan ia adalah kes salah laku seksual.

“Ketika laporan diambil, mangsa tidak menyatakan kepada detektif mengenai lokasi insiden atau gambaran suspek. Satu pemeriksaan perlu dijalankan,” kata kenyataan itu.

“Pada September 2018, kes itu dibuka semula dan detektif kami membuat siasatan terhadap maklumat yang diberikan mangsa.

Mayorga mendakwa dia ditekan untuk menandatangani perjanjian kerahsiaan untuk memastikan tuduhan rogol itu dirahsiakan dan bakal memperoleh penalti dan ganti rugi dianggarkan AS$200,000 (RM828,420).

Dakwaan itu buat kali pertama dlaporkan dalam majalah Jerman, Der Spiegel. Peguam Ronaldo dilaporkan mengugut majalah itu yang memaparkan berita terbabit.

 

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 11:05am
d