arena

Tunjuk sengat boh!

Oleh Malik Muhamad

KELAB Penyokong Bolasepak Negeri Terengganu (PETEH), menuntut pemain Terengganu FC (TFC) supaya mempamerkan belang sebenar di pentas separuh akhir Piala Malaysia dan jangan sesekali menyimpan kuku, apatah lagi beraksi di laman sendiri.

PETEH mengharapkan majoriti pemain yang sarat dengan pengalaman mampu menggunakan segala ilmu dalam misi menumpaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Presiden PETEH, Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kemahiran dan pengalaman sebahagian besar pemain TFC harus dimanfaatkan sebaik mungkin dalam misi getir itu.

PETEH turut mengharapkan kepakaran jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim mampu diterjemahkan dengan kemenangan berdasarkan keupayaannya membentuk pasukan yang mantap sejak musim lalu.

Irfan Bakti berjaya membawa kembali skuad Penyu ke saingan Liga Super musim ini selepas muncul naib juara Liga Perdana musim lalu.

"Kepakarannya yang pernah membimbing lapan pasukan termasuk kelab Persipura Jayapura (Liga Indonesia) amat ditagih dalam aksi penting ini. Kami mahu impian melihat skuad itu melangkah ke final menjadi kenyataan," kata Dr Najmil.

Berdasarkan rekod, jurulatih berusia 67 tahun itu pernah membimbing skuad Terengganu menjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia pada 2011.

"Kedua-dua pasukan memiliki kelebihan tersendiri biarpun JDT menang dalam aksi Liga Super, tetapi itu bukan alasan buat pemain TFC untuk mudah menyerah kalah.

"Aksi liga dan Piala Malaysia adalah dua situasi berbeza. TFC mesti memburu bekalan selesa sebelum pertemuan kedua di tempat lawan pada 20 Oktober ini," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 1:51pm
d