arena

Iskandar direhatkan

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pemain yang gagal beraksi pada tahap sebenar apabila mereka dihantar menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.

Ketegasan jurulatih berusia 58 tahun itu dibuktikan apabila beliau menarik penyertaan Iskandar Zulkarnain Zainuddin daripada beraksi pada saingan Terbuka Taiwan yang bermula, hari ini.

Misbun berkata, keputusan itu diambil selepas mendapati pemain berusia 27 tahun itu masih belum bersedia daripada aspek mental yang menyaksikan dia gagal melepasi pusingan kelayakan Terbuka Korea, minggu lalu.

“Ketika di Korea, saya dapati fikirannya seperti terganggu dan dia tidak boleh bermain pada tahap prestasi sebenarnya. Jadi, saya terpaksa membuat keputusan menarik penyertaannya beraksi pada Terbuka Taiwan.

“Saya mahu dia kekal di sini dan membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan seterusnya. Ini adalah pendekatan yang saya ambil yang mana tiada kompromi terhadap pemain yang menunjukkan prestasi seperti ini.

“Jika pemain itu disiapkan untuk sebarang kejohanan, mereka perlu tunjuk prestasi sebenar,” kata Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Meja Sukan NSTP, semalam melaporkan Iskandar digugurkan daripada menyertai Terbuka Taiwan susulan prestasi hambarnya dalam beberapa kejohanan sebelum ini termasuk Terbuka Korea.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini menegaskan akan mengambil tindakan menggantung penyertaan pemain ke kejohanan antarabangsa sekiranya gagal beraksi pada tahap prestasi sebenar mereka dan tewas tiga kali berturut-turut di tangan pemain ranking lebih rendah.

Ketiadaan Iskandar menyaksikan cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki dipikul pemain muda, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao selain perseorangan profesional, Liew Daren serta Chong Wei Feng.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 6:57pm
d