arena

Saddiq jumpa Teong Kim

Oleh Fadhli Ishak

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka bertemu Pengarah Akademi Mokthar Dahari (AMD), Lim Teong Kim esok untuk membincangkan mengenai masa depannya bersama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP). 

Bagaimanapun, Saddiq enggan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai pertemuan itu tetapi mengesahkan pihaknya sudah menghubungi Teong Kim.

Sumber terdekat kepada menteri bagaimanapun mengesahkan besar kemungkinan besar Teong Kim tidak akan dipecat.

"Pejabat Menteri Belia dan Sukan sudah menyatakan mahu bertemunya (Teong Kim). Harap ia akan menjadi kenyataan," kata Saddiq ketika ditemui pada sesi Townhall di Putrajaya, hari ini.

"Kami sudah menerima maklum balas, sama-sama nantikan apa yang akan berlaku," katanya.

Saddiq menambah beliau perlu menunggu Mesyuarat Jawatankuasa Khas NFDP pada 15 Oktober ini sebelum membuat keputusan termasuk sama ada untuk menerima surat peletakan jawatan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar.

"Saya tidak mahu membuat keputusan secara drastik kerana saya sudah katakan sebelum ini kami perlu memutuskannya pada mesyuarat jawatankuasa.

"Tindakan hanya akan dilakukan selepas menerima cadangan daripada jawatankuasa," katanya.

Kedudukan Teong Kim terancam selepas pasukannya gagal layak ke Piala Dunia 2019 bawah 17 tahun selepas tersingkir awal daripada Kejohanan AFC bawah 16 tahun.

Gajinya sebanyak RM175,000 turut dipersoalkan. Bagaimanapun beberapa pihak kekal mempertahankannya.

 

 

 

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 7:50pm
d