arena

Pizarro belum 'lapuk'

Oleh AFP

BERLIN: Selepas mengharungi penampilan ke-450 Bundesliga minggu lalu, penyerang Werder Bremen, Claudio Pizarro akan menyambut hari lahirnya ke-40 esok tetapi bekas pemain Chelsea dan Bayern Munich itu tidak merancang untuk bersara.

“Saya cukup gemar bermain bola sepak, sekalipun pada usia 40 tahun, saya akan meneruskannya hingga badan saya berkata ‘tidak lagi’,” kata Pizarro.

“Mungkin ini akan menjadi tahun terakhir saya, tapi saya akan menilainya semula selepas musim ini berakhir. Apa yang saya perlukan adalah bola dan perlawanan untuk diharungi.

“Bremen bandar yang menawan dan peminat sukakan saya di sini,” kata Pizarro, kontraknya bersama Bremen berakhir pada Jun depan.

Begitupun, tidak sukar untuk mencari alasan mengapa pemain kebangsaan Peru itu menjadi pilihan peminat di Bremen.

Penampilannya di Weserstadion kali ini adalah yang keempat buatnya dan dia sudah melakukan 276 penampilan, meledak 144 gol sejak membuat penampilan sulung bersama Bremen di usia 20 tahun pada 1999.

Selepas meninggalkan kelab itu untuk menyertai Bayern, Chelsea dan Cologne, dia sentiasa kembali ke Bremen dengan tiga anaknya lahir di Jerman.

Namun apa yang menarik umur Pizarro empat tahun dua hari lebih tua berbanding ketua jurulatih Bremen, Florian Kohfeldt yang akan mencecah usia 36 tahun, Jumaat ini.

“Claudio pemain yang amat penting buat kami, meskipun tidak dalam setiap perlawanan,” kata Kohfeldt yang sudah sekali menyenaraikan Pizarro dalam kesebelasan utama dan tiga aksi selaku pemain gantian dalam enam perlawanan Bundesliga musim ini.

Pizarro memegang rekod Bundesliga sebagai penjaring terbanyak dari pemain luar negara dengan 192 gol dan 75 umpanan tetapi rekod itu sedang dihampiri penyerang Poland dan Bayern, Robert Lewandowski yang sudah menyumbat 183 gol.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 7:55pm
d