arena

Kane nak 'tiru' Messi

Oleh AFP

LONDON: Harry Kane menyasarkan untuk ‘meniru’ ketajaman Lionel Messi ketika penyerang Tottenham itu menanti kunjungan legenda Barcelona itu di Wembley, awal pagi Khamis ini.

Pertembungan Spurs dan Barca dalam kempen Liga Juara-Juara pasti menjadi tumpuan dengan Messi terus mengganas apabila sudah meledak lapan gol pada musim ini termasuk hatrik ketika menewaskan PSV Eindhoven, dua minggu lalu.

Jaringan itu menyaksikan peledak berbisa Argentina itu sudah mengumpul lebih 500 gol bersama Barcelona.

Kane terbukti penyerang prolifik buat Tottenham sejak empat tahun lalu tetapi penyerang England itu mengakui perlu menjadi lebih ‘tajam’ terhadap sentuhan penyudahnya jika ingin mengikuti statistik menakjubkan Messi.

“Dia meletakkan standard, dia dan Cristiano Ronaldo sudah melebihi standard yang biasa apabila mereka menjaringkan 50 ke 60 gol semusim," kata Kane.

“Sebagai penyerang, saya mahu cuba untuk menyainginya. Dia sudah pasti meletakkan standard untuk kami semua sehingga kini.

“Ia memberikan motivasi kepada saya untuk menjadi lebih baik, meningkat dan berharap satu hari nanti menjaringkan gol sebanyaknya, jika tidak lebih, menyamainya.

“Ia ujian yang hebat untuk kami. Sebagai pemain kamu sentiasa mahu bermain menentang pemain terbaik di dunia dan Messi jelas pemain seperti itu, pemain yang menakjubkan dan kami akan melakukan segala-galanya untuk menghentikannya."

Tottenham tewas perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara di Inter Milan sekali gus tidak mempunyai banyak ruang jika mereka mahu layak ke peringkat kalah mati. - AFP

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 1:41am
d