arena

Mourinho kutuk pemain sendiri

Oleh AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho berisiko terbabit dalam satu lagi pertelingkahan dengan pemain-pemain bintang Manchester United, apabila pengendali ini menyelar barisan pemainnya kerana tidak memiliki kualiti teknikal selepas seri 0-0 ketika menentang Valencia, awal pagi tadi.

Pertembungan Liga Juara-Juara yang mengecewakan di Old Trafford itu menjadikan anak buah Mourinho kini sudah mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan.

United tidak mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol berdepan lawan yang juga tidak berada pada prestasi terbaik dan tuan rumah diejek peminat sebaik saja tamat perlawanan.

Ia satu lagi tamparan hebat buat Mourinho, yang mula dikecam selepas mengatasi rekod terburuk United untuk musim liga dalam tempoh 29 tahun.

Mourinho sebelum ini bertelingkah dengan tonggak tengah, Paul Pogba, serta beberapa pemain lagi dalam skuadnya.

Dan kali ini, beliau mempertikaikan mengenai keupayaan tempat benteng yang diturunkan ketika menentang Valencia –  dibarisi Antonio Valencia, Chris Smalling, Eric Bailly dan Luke Shaw.

“Kami tidak mempunyai kualiti teknikal untuk memulakan gerakan dari bawah,” kata Mourinho. “Pemain sudah mencuba.

“Mereka meningkatkan rentak permainan walaupun kita tidak mempunyai ramai yang mampu berbuat begitu. 

"Kami mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menang, tetapi saya perlu menerima ini sebagai keputusan yang wajar.”

Mourinho mengakui United terlalu fokus untuk menyekat Valencia daripada menimbulkan masalah walaupun beraksi di laman sendiri, kerana ketika ini pasukannya tidak mempunyai tahap keyakinan yang baik.

“Ia bukan keputusan yang buruk. Bukan juga keputusan yang baik, tetapi boleh tahan. Kami mempunyai dua perlawanan menentang Juventus untuk mengutip mata. Ia kumpulan yang sukar.

"Kami akan berdepan Newcastle (hujung minggu ini) sebelum liga berehat seketika, kemudian kami bertemu Chelsea dan Juventus dalam tempoh tiga hari. Bagus untuk pasukan jika kami dapat menewaskan Newcastle,” katanya.

 

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 8:11am
d