arena

'Saya kenal pemain Harimau Malaya'

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: ‘Harimau import’ pertama skuad kebangsaan, Mohamadou Sumareh enggan memikirkan sebarang tekanan meskipun berdepan jangkaan tinggi bagi memperkasa skuad Harimau Malaya.

Sebaliknya, pemain kelahiran Gambia itu menyifatkan panggilan sulungnya menyertai kem latihan skuad kebangsaan bermula Isnin depan sebagai cabaran baharu.

Bahkan, dia mengakui tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan skuad kebangsaan.

“Saya tidak mahu menjadikan ia sebagai tekanan, kerana saya lebih suka melihatnya sebagai cabaran kepada diri sendiri. Ini adalah satu permulaan baharu buat saya jadi saya mengharapkan semuanya berjalan lancar buat saya dan pasukan kebangsaan.

“Walaupun saya akan memasuki dunia baharu tetapi saya yakin tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan mahu pun rakan sepasukan.

“Saya sudah mengenali kebanyakan daripada mereka memandangkan saya sudah beraksi lebih enam tahun dalam saingan liga tempatan. Saya tahu cara mereka bermain dan mereka juga sudah tentu tahu cara permainan saya.

“Saya mengharapkan kehadiran saya dapat membantu skuad kebangsaan menjadi lebih baik. Saya tidak sabar menunggu untuk mewakili Malaysia,” katanya.

Semalam, Sukan NSTP melaporkan pemain sayap Pahang itu mencipta sejarah apabila menjadi pemain import pertama beraksi untuk skuad Harimau Malaya.

Penantian pemain berusia 27 tahun itu yang selama ini mengakui mahu beraksi bersama Malaysia berakhir selepas dia mendapat panggilan menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Isnin depan.

Pemain yang digelar ‘Keli Boy’ dalam kalangan penyokong skuad Tok Gajah itu adalah antara enam pemain baharu yang dipanggil pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan kelas ‘A’, bermula dengan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober.

Selepas itu, Malaysia akan melayan Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober 2018.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 2:47pm
d