arena

Fitri harap kehadiran Oltmans berbaloi

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk menilai dan memahami corak latihan ketua jurulatih baharu skuad hoki negara, Roelant Oltmans selepas pengendali terkemuka dari Belanda itu memulakan tugasnya, Isnin lalu. 

Bagaimanapun, pemain tengah skuad negara Fitri Saari berharap kehadiran Oltmans berbaloi seperti ketika skuad Speedy Tigers pernah dibimbing oleh pengendali dari luar negara, Paul Revington pada 2012.

"Saya tidak pasti lagi apakah sistem dan struktur latihan yang ingin ditekankan oleh Oltmans. Mungkin ia memakan masa untuk memahami apakah yang diinginkan oleh beliau. 

"Jika beliau seperti Revington, sudah pasti ia akan banyak membantu kami untuk meningkatkan prestasi pasukan. Tapi buat masa sekarang kami semua tidak pasti lagi," katanya. 

Jelas Fitri, kehadiran Oltmans diharap memberi suntikan tambahan untuk menjadikan pasukan lebih baik selepas dibimbing oleh Stephen Van Huizen sebelum ini. 

"Stephen sudah melakukan banyak perkara positif. Cuma kali ini pihak MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) mahu pasukan menjadi lebih baik dengan kehadiran Oltmans," katanya. 

Apa yang pasti jelas Fitri, tumpuannya serta rakan sepasukan selepas ini adalah untuk mengharungi kempen kelayakan sekali gus mara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

"Kami semua kembali bersemangat untuk beraksi kerana masih mempunyai satu peluang lagi ke Olimpik iaitu menerusi kempen kelayakan," katanya merujuk kekecewaan yang dialaminya serta rakan sepasukan apabila gagal meraih tiket automatik selepas tewas kepada Jepun pada aksi final Sukan Asia di Jakarta dan Palembang 2018. 

Revington yang membimbing skuad negara dari Oktober 2012 mengambil keputusan untuk berundur pada 2014 berikutan masalah kesihatan. 

Sepanjang tempoh singkat pengendali dari Afrika Selatan itu, banyak peningkatan dipamerkan oleh skuad negara. 

Oltmans yang pernah membimbing India dan Pakistan, ditawarkan kontrak selama dua tahun oleh MHC dengan matlamat utama memastikan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi kempen kelayakan pada tahun depan. 

Stephen pula bertindak selaku penolong jurulatih dan pengurus. 

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 4:30pm
d