arena

76 pemain sertai Trofi AUSM

KUALA LUMPUR: Lebih 76 pemain menyertai Kejohanan Golf Kebajikan Trofi AUSM 2018 yang julung kali diadakan di The Mines Resort & Golf Club, Sabtu lalu.

Mereka terdiri daripada penaja korporat, usahawan dan bekas pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Kelantan serta Sarawak.

Ia turut dihadiri Raja Perlis yang juga Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Menurut Presiden Persatuan Alumni USM yang juga pengerusi penganjur Trofi AUSM, Prof Tan Sri Dzulkifli A Razak, USM akan menyambut ulang tahun ke-50 pada 2019 dan kejohanan golf itu akan menjadi permulaan sambutan berkenaan.

“Kami amat gembira ia menerima sambutan amat baik daripada alumni selain pemain industri seluruh negara untuk memberi sumbangan kepada Program Tabung Kanak-Kanak Istimewa USM dan Persatuan Alumni USM. 

“Kami harap Trofi AUSM akan terus berupaya mengumpul lebih banyak dana pada tahun mendatang,” katanya.

Katanya, wang daripada tabung berkenaan akan digunakan untuk kanak-kanak autisme, pekak, buta, sindrom down, masalah pembelajaran dan cerebral palsy selain bagi membaikpulih rumah kelab di kampus utama di Pulau Pinang.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 4:40pm
d