arena

Luiz mahu robek gawang Sabah

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Sabah seharusnya perlu memberi lebih perhatian terhadap ‘senjata pemusnah’ Perak, Wander Luiz menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, Ahad ini. 

Luiz menjadi pemain yang bertanggungjawab membawa Perak ke separuh akhir apabila dua jaringannya pada suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, Ahad lalu membolehkan Bos Gaurus menyingkirkan PKNS FC dengan agregat 2-0.

Malah, tonggak tengah menyerang kelahiran Brazil itu juga melaungkan amaran betapa dia masih mengintai untuk terus meledak gol buat Perak apabila berdepan Sabah.

“Saya sangat gembira apabila menjaringkan dua gol (berdepan PKNS) dan membawa pasukan ke peringkat seterusnya.

“Perkara paling penting bukan siapa yang menjaringkan gol, tapi kemenangan buat pasukan. Kemampuan kami bermain sebagai satu pasukan menjadi kunci kepada kejayaan ini. 

“Sudah pasti (mahu terus mencipta jaringan), tapi saya dan rakan sepasukan perlukan rehat secukupnya kerana perlawanan berdepan PKNS sangat sukar dan selepas itu kami perlu teruskan latihan,” katanya.

Ini adalah peluang terbaik Perak untuk mara ke final Piala Malaysia selepas kali terakhir pada 2007 yang menyaksikan mereka tewas 0-3 kepada Kedah.

Selain itu, Luiz menjelaskan pasukannya tidak boleh memandang mudah terhadap kemampuan Sabah walaupun skuad Sang Badak beraksi dalam Liga Perdana.

“Kami melakukan beberapa kesilapan (berdepan PKNS) dan ia perkara biasa dalam bola sepak, tiada permainan yang 100 peratus sempurna.

“Perkara utama adalah perlu memperbaiki segala kelemahan dan kami boleh mempamerkan aksi lebih baik pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 4:45pm
d