arena

Peminat Liverpool kena serang

NAPLES, Itali: Seorang peminat Liverpool cedera selepas diserang di tengah bandaraya ini, tengah malam semalam menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Napoli, awal pagi ini kata polis Itali.

Mangsa yang berusia 26 tahun sedang minum bersama sekumpulan rakannya di luar sebuah kafe di Cesare Rosaroll, lokasi bersejarah di bandar berkenaan selepas tengah malam sebelum mereka diserang oleh sekumpulan lelaki tempatan.

Lelaki berkenaan dikejarkan ke hospital dan dirawat berikutan luka dan lebam di bahagian muka dan kaki, kata polis menurut agensi berita AGI.

Dia diberikan rawatan dan kemudian dibenarkan keluar dengan tempoh untuknya pulih sepenuhnya dijangka selama dua minggu.

Polis berkata rakaman video pemantauan di pusat bandar akan digunakan untuk mengenali penyerang.

Napoli dijadual bertemu Liverpool pada perlawanan kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan sepak mula permainan di Stadium San Paolo pada jam 3 pagi ini.

Liverpool ketika ini menghuni tangga teratas Kumpulan C selepas menewaskan Paris Saint-Germain 3-2 pada aksi pembukaan manakala kelab Serie A itu diikat 0-0 oleh Red Star Belgrade. - AFP

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 9:14pm
d