arena

Keita bikin Klopp cemas

Oleh Agensi

LONDON: Naby Keita dibawa ke hospital awal pagi tadi apabila mengadu sakit di bahagian belakang, selepas Liverpool tewas di tangan Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara.

Keita, pemain tengah dari Guinea, diusung keluar dari padang pada minit ke-20, selepas menerima rawatan panjang sebaik saja bertembung dengan Lorenzo Insigne, penjaring gol tunggal Napoli pada perlawanan itu.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tidak memberikan sebarang maklumat terperinci mengenai Keita ketika diajukan soalan mengenai pemainnya itu dalam satu sidang media selepas perlawanan.

Namun difahamkan, dia dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Tiada sebarang petanda pada masa ini sama ada Keita, yang digantikan kapten Liverpool, Jordan Henderson, bakal diturunkan untuk berdepan Manchester City, Ahad ini.

Liverpool dalam satu kenyataan dalam laman web mereka berkata: “Keita dibawa ke hospital tempatan bersama-sama doktor kelab - di mana dengan persetujuan pemain tengah itu, dia menjalani beberapa ujian kesihatan bagi mengawasi keadaannya.

“Tiada keputusan yang dibuat mengenai bilakah pemain berusia 23 tahun itu akan keluar daripada wad.”

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 12:21pm
d