arena

Farina mahu tiket Olimpik

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Pelumba trek negara, Farina Shawati Mohd Adnan mengakui perlu berusaha keras bagi merebut tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula hujung bulan ini.

Jelas pelumba kelahiran Selangor itu, dia kemungkinan menyertai lima daripada enam siri Piala Dunia bagi musim 2018/19.

"Kemungkinan saya menyertai lima siri Piala Dunia untuk mengutip mata dan sekiranya tidak mencukupi ke Tokyo, mungkin terpaksa mengambil bahagian dalam semua enam siri. Bagaimanapun, ia semua bergantung kepada perancangan jurulatih (John Beasley).

"Impian beraksi di Olimpik menjadi misi utama saya sejak bergelar pelumba trek. Saya akui perlu berkerja keras bagi memastikan impian tercapai pada edisi kali ini," jelas pelumba berusia 22 tahun itu.

Saingan siri Piala Dunia menawarkan pungutan mata kepada pelumba yang berhasrat beraksi di Tokyo dengan kedudukan ranking bagi Olimpik 2020 akan bermula pada siri pertama di Perancis pada 19 Oktober nanti.

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menetapkan tujuh pelumba layak menerusi ranking individu bagi acara pecut individu dan keirin, selepas ditolak lapan negara yang layak menerusi acara pecut berpasukan.

Mengulas mengenai penampilan pertamanya di Sukan Asia pada Ogos lalu, dia berpuas hati apabila meraih kedudukan ke-10 acara pecut individu dan keenam bagi pecut berpasukan.

Dalam acara keirin, Farina terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kesembilan selepas disingkirkan dari perlumbaan final susulan kesilapan yang dilakukannya dalam aksi separuh akhir.

"Perlumbaan di Sukan Asia memberikan impak kepada saya terutamanya dalam membaiki teknik kayuhan serta beberapa aspek lain seperti fokus dan cara latihan," tambahnya.

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 4:46pm
d