arena

Perak sabar menanti...

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Perak masih perlu bersabar menanti status penyertaan mereka pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Ia susulan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendedahkan belum mendapat pengesahan rasmi berhubung permohonan Perak untuk menyertai kejohanan tertinggi Asia itu.

Bagaimanapun, berdasarkan penjelasan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam kepada Sukan NSTP, malam tadi membayangkan skuad Bos Gaurus hampir pasti menyertai kejohanan ini selepas Pahang tidak mengemukakan sebarang rayuan kepada badan induk itu.

“Setakat ini kami tidak boleh mengesahkan lagi mengenai penyertaan Perak di ACL dan apa yang saya boleh katakan adalah khabar angin tersebar di media sosial sebagai berita palsu.

“First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM dijangka akan mengumumkan keputusan berkenaan permohonan pasukan untuk mendapatkan lesen selewat-lewatnya pada 17 Oktober ini.

“Mungkin paling awal pun saya boleh memaklumkan perkembangan mengenainya pada Rabu ini. Bagi lesen AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pula, kami perlu menghantar permohonan pasukan dari Liga Malaysia kepada badan induk itu.

“Selepas itu AFC yang akan maklumkan mengenai status permohonan semua pasukan termasuk dari Malaysia,” katanya kepada Sukan NSTP.

Semalam, Sukan NSTP melaporkan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) masih menunggu pengesahan daripada FAM susulan tersebarnya jadual kelayakan ACL yang memaparkan nama Perak di media sosial.

Slot ke ACL pada asalnya menjadi milik Pahang apabila muncul juara Piala FA musim ini selepas Tok Gajah berdepan penggantungan dua tahun daripada memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) oleh FAM susulan menolak tawaran menyertai Piala AFC 2018.

Malah, Pahang dikatakan tidak mengemukakan rayuan kepada FAM sekali gus slot itu bakal menjadi milik Perak selaku naib juara Liga Super.

“Sehingga kini Pahang memang tidak mengemukakan rayuan dan mereka seakan tidak berminat. Jadi seperti yang dilaporkan sebelum ini Perak sebagai calon utama menggantikan tempat mereka,” tambah Stuart.

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 4:49pm
d