arena

Rolex Milik dirompak selepas tewaskan Liverpool

Oleh DM

PENYERANG Napoli Arkadiusz Milik ‘terkedu’ apabila dirompak dua lelaki menaiki motosikal ketika memandu pulang selepas pasukannya menewaskan Liverpool 1-0 pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL), hari ini.

Milik tampil beraksi selama 68 minit perlawanan itu tetapi dikeluarkan sebelum jaringan lewat Lorenzo Insigne memastikan kemenangan kelab Itali itu.

Ketika kejadian berlaku, pemain Poland itu sedang memandu di laluan daerah Varcaturo, Naples sekitar jam 2 pagi (8 pagi waktu Malaysia) sebelum kenderaannya dihalang oleh motosikal di laluan itu.

Sebaik ditahan, dua lelaki terbabit memintanya menyerahkan barangan bernilai, menurut laporan akhbar Il Mattino.

Salah seorang lelaki terbabit mengacukan pistol ke arah muka Milik membuatkannya menyerahkan jam tangan jenis Rolex Daytona yang dianggar berharga £18,000 (RM97,000).

Perompak terbabit meninggalkan tempat kejadian tanpa mencederakan Milik.

Milik memperoleh pendapatan £45,000 (RM242,00) seminggu menurut laporan Gazzetta dello Sport, menghubungi polis yang memulakan penyiasatan terhadap insiden itu.

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 8:25pm
d